Modul
Karangan Umum 9: Unit 3-Pengangkutan
Alaf Ini
Pada zaman moden ini, masyarakat
digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam kerana banyak kelebihannya.
Tulis rencana tentang “ Kemaslahatan
Pengangkutan Awam kepada Masyarakat”.
Kemaslahatan
Pengangkutan awam Kepada Masyarakat
Oleh: Aiman Haikal Bin Normansur
Dalam menongkah
arus pemodenan, kita sering kali disogokkan dengan isu pemodenan pengangkutan
awam yang signifikan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Dunia yang mengalami inovasi dan tranformasi
dalam sistem pengangkutan telah melahirkan pelbagai kenderaan moden bagi
menggantikan kenderaan konvensional.
Pada masa kini terdapat pelbagai jenis kenderaan awam seperti monorel,
ERL, komuter, bas, teksi dan kapal terbang yang menjadi pengangkutan pada
setiap hari untuk menuju pejabat dan
destinasi yang mempunyai pelbagai kepentingan dalam kehidupan seharian
masyarakat. Ketahuilah, pengangkutan
awam ini mampu memainkan peranan yang penting kepada sesebuah Negara untuk
mencapai kemajuan. Umum mengetahui
bahawa pengangkutan awam sangat mempengaruhi kehidupan masyarakat seiring
dengan zaman yang serba canggih ini. Persoalan yang telah menerjah dan menerawang
dalam minda kita ialah apakah
kemaslahatan pengangkutan awam kepada masyarakat pada hari ini? Oleh hal
yang demikian, pelbagai kebaikan pengangkutan awam yang mewarnai fokus perbincangan akan dikupas
dan dibugar secara terperinci untuk kepentingan semua pihak.
Sebagai
cetusan minda saya yang pertama, kebaikan pengangkutan awam adalah dapat menjimatkan
masa seseorang untuk sampai ke sesuatu destinasi seterusnya sekali gus
menjimatkan kos perjalanan. Hal ini
berlaku demikian kerana tambang pengangkutan awam lebih murah yang boleh
menjimatkan kos perjalanan. Dalam
konteks ini, punca kenaikan harga minyak sering berlaku menyebabkan masyarakat
lebih gemar menggunakan pengangkutan awam daripada memandu kenderaan
sendiri. Kos bahan api kenderaan dapat
digunakan untuk perkara yang lebih penting seperti membayar bil elektrik, bil
air paip kerajaan dan tabungan anak-anak.
Sebagai contoh kereta api elektrik (ETS) yang digunakan oleh masyarakat
sebagai kenderaan awam hanya mengambil masa dua jam lima minit sahaja dengan
kadar tambang yang berpatutan serta boleh menikmati teh panas dan membaca buku
kegemaran. Sudah jelas menunjukkan
bahawa penggunaan ETS dapat menjimatkan masa lebih kurang 50 minit berbanding
penggunaan kenderaan persendirian. Biar
kita ambil contoh lain iaitu penggunaan LRT (Light Rail Transit) dan MRT (Mass
Rail Transit) yang menjadi pilihan masyarakat untuk pergi ke mana-mana
destinasi tanpa perlu memikirkan bayaran kos petrol yang kian meningkat,
bayaran tol dan bayaran tempat meletak kenderaan. Oleh hal yang demikian, banyak perbelanjaan
boleh dijimatkan dan lebihan kos tadi boleh digunakan untuk membeli barang
keperluan yang lebih penting. Peribahasa
yang bersesuaian dengan keadaan ini ialah Ingat Sementara Belum Kena, Jimat
Sebelum Habis dan Masa itu Emas. Sebagai
penghias bicara akhir, jelaslah bahawa pengangkutan awam dapat menjimatkan masa
dan kos perjalanan seseorang.
Dari perspektif yang lain pula,
pengangkutan awam sangat penting untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di
Bandar-bandar utama. Kita perlu mengakui hakikat bahawa pengangkutan awam
seperti Bus Expressway transit (BET), Bus Rapid Transit (BRT), dan Lorong Bas
telah disediakan untuk mengurangkan kesesakan jalan raya kerana pengangkutan
ini mempunyai jumlah hentian yang terhad dan laluan khas di kawasan tol bagi
melancarkan perjalanan berbanding pengangkutan bas biasa pada masa dulu. Ketahuilah kebanyakan rakyat Malaysia gemar
menggunakan kenderaan sendiri terutamanya ketika ingin ke tempat kerja. Selain itu, masyarakat kini kebiasaannya
bersikap bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing ketika berada
di jalan raya. Hal ini akan menyebabkan
kesesakan jalan raya yang serius. Oleh
itu, pengangkutan awam selain daripada pengangkutan BET dan BRT, pengangkutan
seperti komuter, ERL (Express Rail Link), Monorel, LRT (Light Rail Transit) dan
sebagainya dapat memainkan peranan yang penting untuk menangani masalah kesakan
jalan raya yang semakin kronik di Negara kita.
Impaknya, kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan apabila
kurangnya penggunaan kenderaan persendirian di jalan raya. Sebagai penutup wacana ini, jelaslah bahawa
kelebihan pengangkutan awam dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Kesinambungan dan kelangsungan
diskusi tentang kemaslahatan pengangkutan awam adalah dapat menggalakkan
interaksi sosial dalam kalangan masyarakat.
Hal ini dikatakan demikian kerana, pengangkutan awam bermanfaat dalam
memudahkan manusia menjalani urusan seharian.
Semua lapisan masyarakat digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam. Masyarakat Malaysia dapat berinteraksi
antara satu sama lain apabila pengangkutan awam ini menjadi alat perhubungan
dari destinasi jarak dekat mahu pun jauh. Di samping itu, keistimewaan
pengangkutan awam ini juga memudahkan perjalanan kerana jadual perjalanan telah ditetapkan. Justeru,orang ramai dapat merancang
perjalanan mereka dan membuat persediaan awal seperti peribahasa Sediakan
Payung Sebelum Hujan untuk memudahkan mereka balik ke kampung atau kembali ke bandar.
Contohnya, semasa musim perayaan menjelang, masyarakat bandar akan berpusu-pusu
pulang ke kampung yang jauh beribu batu.
Namun, dengan adanya perkhidmatan pengangkutan awam ini, perjalanan
mereka dipendekkan sekali gus mereka dapat berjumpa sanak-saudara dengan
selamat. Selain itu hubungan
kekeluargaan dan silaturahim dapat dieratkan sama ada sesama bangsa atau antara
kaum dan saling menghormati antara satu sama lain. Perpaduan ini sekali gus dapat memakmurkan
negara tercinta. Izharnya, pengangkutan awam dapat menggalakkan interaksi sosial
masyarakat di negara kita.
Mauduk seterusnya adalah dapat
meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia iaitu dapat
mengurangkan pencemaran alam sekitar sebagai kepentingan pengangkutan
awam. Dalam konteks ini, pengangkutan
awam yang mesra alam dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Pengangkutan awam seperti monorel, LRT dan
ERL ialah kenderaan awam yang mesra alam kerana kenderaan tersebut tidak
mengeluarkan asap. Secara tidak langsung
ia dapat membendung pencemaran alam terutamanya pencemaran udara di Negara
kita. Bandar yang bersih daripada gas
karbon atau gas beracun dapat dikurangkan jika kenderaan persendirian seperti
motosikal dan kereta dapat dikurangkan
di kawasan Bandar. Tambahan pula LRT, MRT
dan Monorel digerakkan menggunakan tenaga elektrik. Impaknya, kesesakan lalu lintas dan kadar
kemalangan jalan raya dapat dikurangkan di kawasan Bandar dan di mana-mana
sahaja. Selain daripada pencemaran udara, pencemaran bunyi juga berlaku akibat
dari penggunaan kenderaan bermotor yang padat di kawasan Bandar. Bagaimanakah masalah ini boleh diatasi? Biar kita lihat melalui Sistem Pengangkutan Hijau yakni satu sistem
pengangkutan awam yang bukan sahaja menawarkan perkhidmatan yang berkualiti
iaitu cepat, cekap dan selesa bahkan
mengurangkan pencemaran alam sekitar diharapkan dapat membendung isu
pengangkutan awam di Negara kita.
Sekiranya sistem ini berjaya dilaksanakan, matlamat untuk meningkatkan
kualiti hidup penduduk di Bandar akan tercapai.
Hal ini berlaku demikian kerana gangguan dari segi tekanan,
ketidakselesaan, kerumitan, kelewatan jadual perjalanan, kesesakan lalu lintas
telah berjaya diatasi. Sebagai
konklusinya, jelaslah bahawa sistem pengangkutan awam yang moden mampu
melestarikan alam sekitar seterusnya pencemaran udara tidak menjadi masalah
lagi.
Merenung sejenak memikirkan
rasionalnya pengangkutan awam kepada masyarakat adalah dapat memudahkan
perjalanan seseorang untuk ke sesuatu destinasi. Hal ini tercetus disebabkan oleh pengangkutan
awam seperti ERL dan LRT, sistem pengangkutan yang lebih efisien berbanding
dengan kenderaan persendirian dapat diwujudkn tambahan pula banyak tempat di
ibu kota yang termasuk dalam jaringan pengangkutan awam tersebut. Lagipun, ia dapat meningkatkan kadar
ketepatan atau kepantasan seseorang untuk sampai ke sesuatu destinasi. Begitu juga halnya dengan penggunaan kapal
terbang sebagai pengangkutan utama bagi masyarakat Islam yang ingin menunaikan
ibadah haji. Penggunaan kpal terbang
dapat mempercepat perjalanan selain memudahkan Jemaah haji menunaikan tuntutan
rukun islam yang kelima. Perjalanan ke
Mekah hanya mengambil masa 8 jam sahaja berbanding dengan era 1950-an yang
memerlukan masa yang agak lama iaitu selama dua bulan untuk sampai ke
Mekah. Situasi ini jelas menunjukkan
penggunaan pengangkutan awam moden telah memudahkan perjalanan bagi jarak yang
amat jauh melangkaui sempadan antarabangsa.
Hal ini juga membuktikan pengangkutan awam mempunyai jadual perjalanan
yang telah ditetapkan. Sekali gus, orang
rami dapat merancang perjalanan mereka dan membuat persediaan awal seperti
peribahasa Sediakan Payung Sebelum Hujan.
Sebagai mengakhiri diskusi ini, jelaslah bahawa perjalanan akan menjadi
lebih mudah bagi pengguna apabila pengangkutan awam tidak dipinggirkan.
Berdasarkan huraian berkaitan pengangkutan awam, ternyatalah bahawa
pengangkutan ini banyak maslahatnya jika dibandingkan dengan penggunaan
kenderaan persendirian. Oleh itu,
anggota masyarakat digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam jika hendak
pergi ke sesuatu destinasi kerana ia memudahkan manusia menjalani urusan
seharian. Jika semua pihak berganding
bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, Insya-Allah masalah
pencemaran alam akibat pengangkutan kenderaan pesendirian dapat diatasi dengan
sebaiknya. Sebelum nasi menjadi bubur,
sebelum visi dan misi menjadi kabur, sewajarnya kita melakukan anjakan paradigm
untuk mewujudkan kelestarian pengangkutan awam bagi kesejahteraan sejagat. Tuntasnya, dapatlah kita rumuskan di sini
bahawa kemajuan dalam pengangkutan awam yang disokong sepenuhnya oleh rakyat
Malaysia akan dapat meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan insan seiring
dalam memenuhi aspirasi Negara menjelang pencapaian Wawasan 2020.
No comments:
Post a Comment