Tuesday, September 4, 2018

MODUL JUMBAKPEK-KARANGAN UMUM


Modul Karangan Umum 9:  Unit 3-Pengangkutan Alaf Ini
Pada zaman moden ini, masyarakat digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam kerana banyak kelebihannya.
Tulis rencana tentang “ Kemaslahatan Pengangkutan Awam kepada Masyarakat”.
Kemaslahatan Pengangkutan awam Kepada Masyarakat
Oleh:  Aiman Haikal Bin Normansur

               Dalam menongkah arus pemodenan, kita sering kali disogokkan dengan isu pemodenan pengangkutan awam yang signifikan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.  Dunia yang mengalami inovasi dan tranformasi dalam sistem pengangkutan telah melahirkan pelbagai kenderaan moden bagi menggantikan kenderaan konvensional.  Pada masa kini terdapat pelbagai jenis kenderaan awam seperti monorel, ERL, komuter, bas, teksi dan kapal terbang yang menjadi pengangkutan pada setiap hari  untuk menuju pejabat dan destinasi yang mempunyai pelbagai kepentingan dalam kehidupan seharian masyarakat.  Ketahuilah, pengangkutan awam ini mampu memainkan peranan yang penting kepada sesebuah Negara untuk mencapai kemajuan.  Umum mengetahui bahawa pengangkutan awam sangat mempengaruhi kehidupan masyarakat seiring dengan zaman yang serba canggih ini.  Persoalan yang telah menerjah dan menerawang dalam minda kita  ialah apakah kemaslahatan pengangkutan awam kepada masyarakat pada hari ini? Oleh hal yang demikian, pelbagai kebaikan pengangkutan awam  yang mewarnai fokus perbincangan akan dikupas dan dibugar secara terperinci untuk kepentingan semua pihak.
           
            Sebagai cetusan minda saya yang pertama, kebaikan pengangkutan awam adalah dapat menjimatkan masa seseorang untuk sampai ke sesuatu destinasi seterusnya sekali gus menjimatkan kos perjalanan.  Hal ini berlaku demikian kerana tambang pengangkutan awam lebih murah yang boleh menjimatkan kos perjalanan.  Dalam konteks ini, punca kenaikan harga minyak sering berlaku menyebabkan masyarakat lebih gemar menggunakan pengangkutan awam daripada memandu kenderaan sendiri.  Kos bahan api kenderaan dapat digunakan untuk perkara yang lebih penting seperti membayar bil elektrik, bil air paip kerajaan dan tabungan anak-anak.  Sebagai contoh kereta api elektrik (ETS) yang digunakan oleh masyarakat sebagai kenderaan awam hanya mengambil masa dua jam lima minit sahaja dengan kadar tambang yang berpatutan serta boleh menikmati teh panas dan membaca buku kegemaran.  Sudah jelas menunjukkan bahawa penggunaan ETS dapat menjimatkan masa lebih kurang 50 minit berbanding penggunaan kenderaan persendirian.  Biar kita ambil contoh lain iaitu penggunaan LRT (Light Rail Transit) dan MRT (Mass Rail Transit) yang menjadi pilihan masyarakat untuk pergi ke mana-mana destinasi tanpa perlu memikirkan bayaran kos petrol yang kian meningkat, bayaran tol dan bayaran tempat meletak kenderaan.  Oleh hal yang demikian, banyak perbelanjaan boleh dijimatkan dan lebihan kos tadi boleh digunakan untuk membeli barang keperluan yang lebih penting.  Peribahasa yang bersesuaian dengan keadaan ini ialah Ingat Sementara Belum Kena, Jimat Sebelum Habis dan Masa itu Emas.  Sebagai penghias bicara akhir, jelaslah bahawa pengangkutan awam dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan seseorang.

            Dari perspektif yang lain pula, pengangkutan awam sangat penting untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di Bandar-bandar utama. Kita perlu mengakui hakikat bahawa pengangkutan awam seperti Bus Expressway transit (BET), Bus Rapid Transit (BRT), dan Lorong Bas telah disediakan untuk mengurangkan kesesakan jalan raya kerana pengangkutan ini mempunyai jumlah hentian yang terhad dan laluan khas di kawasan tol bagi melancarkan perjalanan berbanding pengangkutan bas biasa pada masa dulu.  Ketahuilah kebanyakan rakyat Malaysia gemar menggunakan kenderaan sendiri terutamanya ketika ingin ke tempat kerja.  Selain itu, masyarakat kini kebiasaannya bersikap bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing ketika berada di jalan raya.  Hal ini akan menyebabkan kesesakan jalan raya yang serius.  Oleh itu, pengangkutan awam selain daripada pengangkutan BET dan BRT, pengangkutan seperti komuter, ERL (Express Rail Link), Monorel, LRT (Light Rail Transit) dan sebagainya dapat memainkan peranan yang penting untuk menangani masalah kesakan jalan raya yang semakin kronik di Negara kita.  Impaknya, kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan apabila kurangnya penggunaan kenderaan persendirian di jalan raya.  Sebagai penutup wacana ini, jelaslah bahawa kelebihan pengangkutan awam dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

            Kesinambungan dan kelangsungan diskusi tentang kemaslahatan pengangkutan awam adalah dapat menggalakkan interaksi sosial dalam kalangan masyarakat.  Hal ini dikatakan demikian kerana, pengangkutan awam bermanfaat dalam memudahkan manusia menjalani urusan seharian.  Semua lapisan masyarakat digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam.    Masyarakat Malaysia dapat berinteraksi antara satu sama lain apabila pengangkutan awam ini menjadi alat perhubungan dari destinasi jarak dekat mahu pun jauh. Di samping itu, keistimewaan pengangkutan awam ini juga memudahkan perjalanan kerana jadual  perjalanan telah ditetapkan.  Justeru,orang ramai dapat merancang perjalanan mereka dan membuat persediaan awal seperti peribahasa Sediakan Payung Sebelum Hujan untuk memudahkan mereka balik ke kampung atau kembali ke bandar. Contohnya, semasa musim perayaan menjelang, masyarakat bandar akan berpusu-pusu pulang ke kampung yang jauh beribu batu.  Namun, dengan adanya perkhidmatan pengangkutan awam ini, perjalanan mereka dipendekkan sekali gus mereka dapat berjumpa sanak-saudara dengan selamat.  Selain itu hubungan kekeluargaan dan silaturahim dapat dieratkan sama ada sesama bangsa atau antara kaum dan saling menghormati antara satu sama lain.  Perpaduan ini sekali gus dapat memakmurkan negara tercinta. Izharnya, pengangkutan awam dapat menggalakkan interaksi sosial masyarakat di negara kita.

            Mauduk seterusnya adalah dapat meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia iaitu dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar sebagai kepentingan pengangkutan awam.  Dalam konteks ini, pengangkutan awam yang mesra alam dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.  Pengangkutan awam seperti monorel, LRT dan ERL ialah kenderaan awam yang mesra alam kerana kenderaan tersebut tidak mengeluarkan asap.  Secara tidak langsung ia dapat membendung pencemaran alam terutamanya pencemaran udara di Negara kita.  Bandar yang bersih daripada gas karbon atau gas beracun dapat dikurangkan jika kenderaan persendirian seperti motosikal dan kereta dapat  dikurangkan di kawasan Bandar.  Tambahan pula LRT, MRT dan Monorel digerakkan menggunakan tenaga elektrik.  Impaknya, kesesakan lalu lintas dan kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan di kawasan Bandar dan di mana-mana sahaja. Selain daripada pencemaran udara, pencemaran bunyi juga berlaku akibat dari penggunaan kenderaan bermotor yang padat di kawasan Bandar.  Bagaimanakah masalah ini boleh diatasi?  Biar kita lihat melalui  Sistem Pengangkutan Hijau yakni satu sistem pengangkutan awam yang bukan sahaja menawarkan perkhidmatan yang berkualiti iaitu cepat, cekap dan selesa bahkan  mengurangkan pencemaran alam sekitar diharapkan dapat membendung isu pengangkutan awam di Negara kita.  Sekiranya sistem ini berjaya dilaksanakan, matlamat untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di Bandar akan tercapai.  Hal ini berlaku demikian kerana gangguan dari segi tekanan, ketidakselesaan, kerumitan, kelewatan jadual perjalanan, kesesakan lalu lintas telah berjaya diatasi.  Sebagai konklusinya, jelaslah bahawa sistem pengangkutan awam yang moden mampu melestarikan alam sekitar seterusnya pencemaran udara tidak menjadi masalah lagi.

            Merenung sejenak memikirkan rasionalnya pengangkutan awam kepada masyarakat adalah dapat memudahkan perjalanan seseorang untuk ke sesuatu destinasi.  Hal ini tercetus disebabkan oleh pengangkutan awam seperti ERL dan LRT, sistem pengangkutan yang lebih efisien berbanding dengan kenderaan persendirian dapat diwujudkn tambahan pula banyak tempat di ibu kota yang termasuk dalam jaringan pengangkutan awam tersebut.  Lagipun, ia dapat meningkatkan kadar ketepatan atau kepantasan seseorang untuk sampai ke sesuatu destinasi.  Begitu juga halnya dengan penggunaan kapal terbang sebagai pengangkutan utama bagi masyarakat Islam yang ingin menunaikan ibadah haji.  Penggunaan kpal terbang dapat mempercepat perjalanan selain memudahkan Jemaah haji menunaikan tuntutan rukun islam yang kelima.  Perjalanan ke Mekah hanya mengambil masa 8 jam sahaja berbanding dengan era 1950-an yang memerlukan masa yang agak lama iaitu selama dua bulan untuk sampai ke Mekah.  Situasi ini jelas menunjukkan penggunaan pengangkutan awam moden telah memudahkan perjalanan bagi jarak yang amat jauh melangkaui sempadan antarabangsa.  Hal ini juga membuktikan pengangkutan awam mempunyai jadual perjalanan yang telah ditetapkan.  Sekali gus, orang rami dapat merancang perjalanan mereka dan membuat persediaan awal seperti peribahasa Sediakan Payung Sebelum Hujan.  Sebagai mengakhiri diskusi ini, jelaslah bahawa perjalanan akan menjadi lebih mudah bagi pengguna apabila pengangkutan awam tidak dipinggirkan.

                Berdasarkan huraian berkaitan pengangkutan awam, ternyatalah bahawa pengangkutan ini banyak maslahatnya jika dibandingkan dengan penggunaan kenderaan persendirian.  Oleh itu, anggota masyarakat digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam jika hendak pergi ke sesuatu destinasi kerana ia memudahkan manusia menjalani urusan seharian.  Jika semua pihak berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, Insya-Allah masalah pencemaran alam akibat pengangkutan kenderaan pesendirian dapat diatasi dengan sebaiknya.  Sebelum nasi menjadi bubur, sebelum visi dan misi menjadi kabur, sewajarnya kita melakukan anjakan paradigm untuk mewujudkan kelestarian pengangkutan awam bagi kesejahteraan sejagat.  Tuntasnya, dapatlah kita rumuskan di sini bahawa kemajuan dalam pengangkutan awam yang disokong sepenuhnya oleh rakyat Malaysia akan dapat meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan insan seiring dalam memenuhi aspirasi Negara menjelang pencapaian Wawasan 2020.

No comments:

Post a Comment