Sunday, July 15, 2018

PROPOSAL KAJIAN TINDAKAN








SMK PINGGAN-PINGGAN, PITAS
PETI SURAT 441, 89108  SABAH.
PROPOSAL KAJIAN TINDAKAN

“MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENULIS KARANGAN MENGGUNAKAN TEKNIK JUMBAKPEK  BERPANDUKAN  KAD PIRAMID KARANGAN PELBAGAI GUNA + NYANYIAN KEPADA
MURID-MURID TINGKATAN 5 INOVATIF”

Disediakan Oleh:

Puan Hamidah Binti Raya



1.0 TAJUK KAJIAN:
MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENULIS KARANGAN MENGGUNAKAN TEKNIK JUMBAKPEK  KEPADA MURID-MURID TINGKATAN 5 INOVATIF
2.0  NAMA PENYELIDIK
Puan Hamidah Binti Raya

3.0  NAMA SEKOLAH
SMK Pinggan –Pinggan, Pitas Sabah
4.0  PENDAHULUAN / LATAR BELAKANG KAJIAN
Berdasarkan format Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pemeriksaan kertas mata pelajaran Bahasa Melayu terbahagi kepada 3 kertas iaitu Kertas 1, Kertas 2 dan Kertas 3.  Kertas 1 meliputi 130 markah ( Bahagian A: Karangan Rangsangan dan Bahagian B:Karangan Respon Terbuka), kertas 2 meliput 110 markah ( Karangan Rumusan, Pemahaman KOMSAS, Sistem Bahasa dan Novel) dan Kertas 3 meliputi 40 markah (ULBS)


a)      REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU
Saya mengajar di kelas 5 Inovatif(Baik), 5 Kreatif (Aras Sederhana)  dan 5 Optimis (Aras Rendah) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.
Sewaktu saya menyemak karangan murid tingkatan 5 Inovatif dan 5 Optimis berdasarkan ujian Pra , saya dapati masalah utama bagi murid saya ialah murid tidak mahir menulis dan mengembangkan pendahuluan, pernyataan isi  menepati arahan soalan dan dimensi karangan dan membuat penutup dalam penulisan karangan rangsangan dan karangan umum yang perlu dikuasai oleh murid SPM bagi memperoleh markah yang tinggi.  Justeru, murid sukar untuk mencapai markah cemerlang dalam karangan rangsangan dan karangan respon terbuka Kertas 1 kerana olahan karangan yang terlalu ringkas serta pendek tanpa ada sebab, contoh ataupun ungkapan menarik serta tidak memasukkan aspek Kbat dalam penulisan tersebut.  Malahan, karangan pelajar tidak mengikut teknik dan dimensi  yang disarankan dalam penulisan karangan yang baik.  Kebanyakan murid hanya menghurai isi tanpa memberi kesan, contoh dan penyelesaian bagi setiap isu yang dibincangkan.  Oleh hal yang demikian, penguasaan terhadap kemahiran menulis karangan memerlukan pendekatan berfokus dan komprehensif untuk memberi kefahaman yang jelas dan mudah kepada murid.
Masalah ini berlaku dalam kalangan murid adalah kerana mereka:
1.      Tidak mempunyai kemahiran menulis isi karangan menepati arahan soalan dan dimensi karangan.

Masalah ini  juga berpunca daripada saya kerana menganggap pelajar telah menguasai kemahiran menulis isi karangan yang menepati kehendak soalan di Tingkatan 4 dan mengabaikan pembelajaran Masteri dan pendekatan berfokus.





5.0  ISU KEPRIHATINAN DAN FOKUS KAJIAN
Berdasarkan ujian Pra Bahasa Melayu Januari 2018 untuk kelas Tingkatan 5 Inovatif didapati  90 peratus murid masih lemah dan tidak cemerlang dalam penulisan karangan.  Oleh itu, murid yang lemah dalam penulisan karangan berpunca daripada pelbagai faktor yang perlu ditinjau secara teliti dan mendalam.  Pembedahan terhadap isu kelemahan khususnya dalam penulisan karangan perlu dilakukan dengan segera.  Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berpanjangan kerana murid ini akan menghadapi SPM 2018 pada bulan November.  Seandainya mereka tidak menguasai kemahiran menulis karangan dengan baik kebarangkalian mereka tidak akan mendapat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat SPM kerana soalan bahagian ini merangkumi 130 markah daripada 240 markah keseluruhan Bahasa Melayu Kertas 1.  Oleh itu, kajian tindakan perlu dilakukan bagi meningkatkan penguasaan kemahiran menulis karangan dengan kaedah terancang dan sistematik. 
Selain itu, harus ada satu modus operandi yang sesuai dan pelbagai untuk pengajaran dan pemudahcaraan  menulis karangan.  Justeru, bagi meningkatkan kemahiran menulis karangan, saya memperkenalkan  “Teknik JUMBAKPEK ” untuk dijalankan dalam proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) penulisan di kelas.  Walaupun saya mengesan banyak masalah yang dihadapi oleh murid saya, saya akan fokuskan kajian ini kepada masalah penerapan contoh, kesan, ungkapan menarik dan aspek KBAT dalam perenggan karangan bahagian A dan bahagian B.  Antara kesilapan yang sering dilakukan oleh murid-murid Tingkatan 5 Inovatif ialah:
1.       Menghurai isi atau idea tanpa memberikan contoh, kesan dan langkah penyelesaian yang sesuai.
2.      Menghurai isi tanpa panduan teknik yang betul dan tiada kesinambungan antara ayat dengan ayat sebelumnya.
3.      Huraian idea yang tidak menjurus pada dimensi karangan yang ditetapkan.
Jika perkara ini tidak ditangani segera, masalah ini akan menjadi lebih serius, murid akan terus menghasilkan karangan yang tidak menepati arahan soalan dan lemah.
6.0  OBJEKTIF KAJIAN
        Sselepa kajian ini selesai dijalankan, murid-murid diharap akan mencapai objektif berikut:
1.1   Objektif Umum
Meningkatkan nilai GNP sekolah dengan peningkatan peratus yang memperoleh A+, A dan A- Bahasa Melayu.

1.2   Objektif Khusus
1.2.1        Meningkatkan keupayaan menulis karangan dengan betul berdasarkan teknik JUMBAKPEK yang akan dipelajari.
1.2.2        Meningkatkan keupayaan menghuraikan isi karangan yang bertepatan dengan arahan soalan dan dimensi karangan
1.2.3        Meningkatkan peratus murid yang mendapat markah cemerlang dalam penulisan karangan.
1.2.4        Meningkatkan keupayaan mengaplikasikan contoh, kesan, ungkapan menarik dan aspek KBAT dalam penulisan.
7.0  KUMPULAN SASARAN
Kajian ini melibatkan 34 orang murid 5 Inovatif  yang merupakan murid aras baik.
8.0  TINDAKAN YANG DICADANGKAN
        8.1  PELAKSANAAN KAJIAN
       8.1.1  Tinjauan masalah dan Analisis Tinjauan Masalah
Tinjauan awal saya terhadap masalah kajian berkaitan dengan mengenal pasti masalah pembelajaran murid dan seterusnya mengenal pasti punca murid gagal dalam penguasaan kemahiran menulis karangan.  Pemerhatian dilihat terhadap tingkah laku pembelajaran murid dalam aspek sikap dan kesediaan murid ketika proses pengajaran dan pemudahcaraan di dalam kelas.  Sikap murid yang kurang memberi tumpuan terhadap pengajaran  guru dan  budaya leka dalam pembelajaran telah dikenal pasti sebagai punca utama yang mempengaruhi kemahiran murid dalam penulisan karangan.  Begitu juga terdapat murid yang membuat latihan yang diberikan oleh guru secara sambalewa dan kurang berkualiti.  Masalah yang dihadapi murid dalam penulisan karangan dapat diperhatikan melalui aktiviti pengajaran dan pemudahcaraan di kelas.  Selain itu, tinjauan dilakukan dengan mengutip data seperti berikut:
1.      Ujian Pra-menulis pemerengganan karangan lengkap berdasarkan soalan karangan rangsangan dan karangan umum.
2.      Pemerhatian sikap murid ketika belajar penulisan karangan berkesan.
3.      Temu bual dengan murid tentang keberkesanan teknik yang diajar di kelas.
4.      Soalan soal selidik murid selepas ujian pos dijalankan.
5.      Latihan karangan murid bagi mengesan kesilapan penggunaan perkataan dalam ayat dan penerapan aspek KBAT

8.2  TINDAKAN YANG DIJALANKAN
Berdasarkan analisis ujian Pra, pemerhatian dan semakan latihan pelajar, satu tindakan akan dijalankan. Oleh itu, tindakan dilakukan dengan memperkenalkan “Teknik JUMBAKPEK” dalam penulisan karangan.
8.2.1        Langkah pertama yang dijalankan adalah dengan memberi pendedahan teknik menjawab soalan Bahasa Melayu SPM sebenar, khususnya kepada penulisan karangan dan sistem pemarkahan.  Murid yang mengalami masalah pembelajaran dan kurang memberi tumpuan terhadap pengajaran dan lemah dalam penulisan karangan adalah perlu diberi perhatian dalam kalangan murid sasaran.  Berikut adalah langkah awal sebelum mendedahkan murid dengan cara menulis karangan yang cemerlang:

8.2.1  Teknik Menjawab Karangan Rangsangan dan Karangan Umum didedahkan kepada murid pada awal Januari 2018.

8.2.2        Cara Pemarkahan Karangan peringkat cemerlang didedahkan kepada murid sebagai pengetahuan awal menulis karangan.

8.2.3        Memperkenalkan Teknik “TAAFDIRU  untuk menganalisis soalan atau tajuk karangan.

8.2.4        Memperkenalkan Teknik “KSSMJA” untuk membina pendahuluan karangan.

8.2.5        Memperkenalkan Teknik “PESAHAKE” untuk membina penutup karangan.


8.2.6        Seterusnya , tindakan yang saya lakukan adalah dengan memperkenalkan “Teknik JUMBAKPEK” dalam penulisan karangan. Tindakan yang dilakukan adalah dengan memberi pendedahan berkaitan kemahiran menulis karangan dan penekanan terhadap semakan latihan murid berpandukan kepada strategi pengajaran yang diperkenalkan. Teknik penulisan karangan ini dipermudahkan lagi dengan menggunakan “Piramid Karangan Pelbagaiguna” sebagai inovasi baharu atau  bahan bantu mengajar guru dan murid yang ditambahbaik daripada idea PdP Sains :Pop up Piramid Tingkatan 2 dalam laman sesawang www.cikguhailmi.com (18 April 2015).

8.2.4(i)  Penggunaan  Piramid Karangan Pelbagaiguna  ini diubahsuai mengikut kegunaan penulisan karangan Bahasa Melayu yang saya kaji iaitu menggunakan kedua-dua permukaan luar dan dalam piramid sebagai panduan atau model asas menulis karangan cemerlang.  Hasil daripada   ciptaan Piramid ini saya amati dan merasakan ia  amat sesuai digunakan oleh guru sebagai model atau bahan bantu mengajar di kelas  serta nota dan panduan asas untuk murid semasa PdPc dan dimasukkan ke dalam poket hadapan buku latihan serta boleh juga dijadikan penanda buku latihan murid.  Melalui piramid ini murid boleh membawa dan membacanya ke mana-mana sahaja .

8.2.7        Memperbanyak latihan dan aktiviti seperti menulis karangan menggunakan modul yang disediakan dan berpandukan “Piramid Karangan Pelbagaiguna”, guru memberi contoh karangan yang cemerlang dan meminta murid menghafal teknik JUMBAKPEK.  Guru memandu murid menulis karangan langkah demi langkah berdasarkan kaedah yang dicadangkan , guru meminta murid menyalin contoh karangan yang sedia ada  dan aktiviti menulis karangan dengan memasukkan ungkapan menarik seperti peribahasa, kata-kata hikmat dan cogan kata (murid kena hafal dan ingat melalui 1 hari 2 peribahasa berserta maksud sebelum PdPc dijalankan).  Aktiviti terakhir sekali guru meminta murid menulis latihan karangan berdasarkan kaedah yang diajar sebagai latih tubi yang berterusan di kelas atau semasa kelas tambahan.

8.2.8        Untuk meningkatkan ketajaman minda dan ingatan murid, saya juga berusaha memperkenalkan teknik nyanyian karangan berkesan JUMBAKPEK semasa PdPc di kelas.  Sebelum  PdPc bermula  atau selepas aktiviti PdPc murid akan menyanyikan lagu JUMBAKPEK  untuk menarik mereka menghafal teknik tersebut dan menyukai cara mengarang penulisan berkesan disamping menggunakan panduan Piramid Karangan Pelbagaiguna di kelas.
Aktiviti –aktiviti ini akan diubahsuai mengikut keperluan setelah saya melaksanakan tinjauan awal.

8.3   PENILAIAN DAN REFLEKSI KESELURUHAN
8.3.1        Didapati tindakan yang dibuat adalah berkesan untuk murid kelas baik, sederhana serta rendah meningkatkan kemahiran menulis karangan yang cemerlang dan baik.
8.3.2        Diharapkan dengan kemahiran menulis karangan ini, akhirnya murid dapat menulis karangan yang lengkap , berfokus kepada arahan soalan dan dimensi karangan dan karangan yang menarik dan berkesan.
8.3.3        Tindakan seumpama ini boleh dicuba ke kelas lain yang menghadapi masalah yang sama.
9.0  PERANCANGAN PELAKSANAAN TINDAKAN
       9.1  Jadual Pelaksanaan kajian
Bil
Aktiviti / Tugasan
Bulan/Tarikh
Catatan
1
Memaklumkan Kajian Tindakan kepada pentadbir dan guru pakar, membuat perbincangan dan meminta tunjuk ajar serta pandangannya untuk menyediakan kajian ini
20.1.2018

2
Mengenal pasti masalah dan pengumpulan data awal
22.1.2018

3
Menulis, menyediakan dan menyerahkan Proposal Kajian Tindakan
 26.01.2018

4
Merancang Tindakan panitia
29 .01.2018

5
Melaksanakan dan Menjalankan Kajian tindakan
2 Feb – 30 April 2018
Ujian Pos 1
Ujian Setara 2
Ujian Pos 3
6
Membincangkan masalah yang timbul
9 April 2018

7
Ujian untuk mengesan pencapaian murid
16 April 2018
Ujian Pos 4
8
Refleksi kajian
18 April 2018

9
Menulis Laporan Kajian
23 April 2018
Data dikumpul melalui:
·         Catatan
·         Pemerhatian
·         Rekod aktiviti
·         Rekod pencapaian
·         Temubual
·         Ujian pos
10
Menyerahkan Laporan Kajian dan Pembentangan dapatan kajian
30 April 2018







9.2   Kos Kajian

Bil
Bahan
Harga seunit
Jumlah
1
Kertas A4 1 rim
3 X RM 12.00
RM 36.00
2
Kad Manila
10 x RM 0.80
RM 8.00
3
Pen Marker
3 x RM 4.00
RM 12.00
4
Fotostat  Bahan & Laporan Kajian

RM 50.00
5
Stapler dan dawai kokot
1 X RM 8.00
RM 8.00
6
Kertas A4 berwarna -1 rim
1 X RM 32.00
RM 32.00
JUMLAH KOS
RM 146.00

10.0  RUJUKAN / BIBLIOGRAFI
Mohamad Nasir Bin Ibrahim.  (2016).  Penulisan Bahasa Malaysia SPM , Memperkenalkan Kaedah IMBAKUP dalam Penulisan.  Selangor Darul Ehsan:  Ilmu Bakti.
Zamri Salleh.  (2017).  Modul Penulisan Karangan SPM, Meningkatkan Kemahiran Menulis Menggunakan Kaedah Ulang, Rujuk dan Tambah.  Kedah:  Karya.
Azlin Binti Annual.  (2017).  Kaedah Mengarang Isi Karangan:Teknik AMBaKKYa 2 Kata Kunci. Selangor:  IP Minda Printing & Trading.
Azizul Rahman Abdul Rahman.  (2016).  Ungkapan Indah untuk Penulisan.  Selangor Darul Ehsan:  Ilmu Bakti
Norlizarosiha. Blogspot (2017).  Contoh Kertas Cadangan KajianTindakan.(online)(http://cikgunorlizarosiha.blogspot.my/2017/12.
Cikgutancl.blogspot (2016).  Karangan cemerlang SPM. (online) (https://cikgutan.blogspot.my/2012/05.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2011).  Buku Teks Bahasa Malaysia Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) Tingkatan 5.  Selangor Darul Ehsan: Dewan Bahasa dan Pustaka
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2016).  Buku Teks Bahasa Malaysia Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) Tingkatan 4.  Selangor Darul Ehsan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Haji Ishak Bin Md Shah.  (2017).  Bahasa Melayu SPM Kertas 1: Modul mahir Mengarang.  Selangor Darul Ehsan.
Cikguhailmi.blogspot (  2015  ).  Idea P&P Sains:Pop up Piramid . (online) (www.cikguhailmi.com) (18 April 2015)







 Disediakan:

HAMIDAH BINTI RAYA
Tarikh:  26 Januari 2018
Ulasan:
____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
Disemak:

LOJUMIN BIN GALAPAN
Tarikh:______________________

Ulasan:
____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
Diluluskan:

MALATI BINTI LAJIM
Tarikh:_______________________